Rabu, 3 Ogos 2016

Utama

Assalamualaikum,

Selamat sejahtera ke atas kamu…

Blog ini dikelolakan untuk menyampaikan maklumat dan panduan ringkas untuk menyusuri Masjidil Haram di Mekah untuk Musim Haji 1437H / 2016.

Amat mudah untuk kita sesat kerana kebingungan di kala kita berjalan di sekitar Masjidil Haram kerana saiznya yang amat besar dan lokasi dalamannya yang kelihatan sama di antara satu dengan yang lain. Ditambah pula dengan pekerjaan pengubahsuaian masih terus menerus berlangsung di sekitar masjid. Justeru, saya berharap agar blog ini sedikit sebanyak boleh membantu saudara dan saudari menyusuri sekitar masjid.

Waktu Musim Haji, pintu masuk mungkin ditutup awal untuk mengawal gerombolan jemaah di dalam masjid. Pintu-pintu masuk mungkin ditutup seawal 1 jam hingga 1.5 jam sebelum waktu solat. Pintu-pintu masuk utama akan ditutup dahulu. Sila datang awal jika ingin menunaikan solat di dalam masjid.

Pada hari Jumaat pada Musim Haji, pintu-pintu masuk mungkin ditutup seawal jam 10 pagi sebelum Solat Jumaat. Sila datang lebih awal pada hari Jumaat jika ingin bersolat Jumaat di dalam masjid.

Saya sarankan agar dimuat turun peta yang tersedia di blog ini atau cetak terus untuk digunakan sewaktu di sana sebagai rujukan dan panduan.

Moga haji anda diterima Allah swt.. Amiiiin…

Yang ikhlas,

Husni

Peringatan:
Maklumat yang tersedia di blog ini bukanlah 100% tepat kerana ianya berdasarkan pemerhatian saya sepanjang saya di sana dahulu berbekalkan sebuah smartphone, dan juga kajian di internet. Saya memohon maaf jika ada kekhilafan tetapi saya berharap agar panduan di blog ini masih bermanfaat buat semua.

Peta Masjidil Haram

Ini ialah peta Masjidil Haram yang saya temukan dari internet (August 2016). Sila muat turun untuk kegunaan anda...



Gambar 1. Peta Masjidil Haram dengan Nombor Pintu Masuk

Anda boleh juga merujuk kepada peta di bawah ini. Gambar ini diambil waktu Musim Haji tahun lalu. Ia disertakan dengan maklumat terperinci tentang kawasan King Abdullah yang terbaharu.

Lokasi peta ini terletak di antara Safwa Towers dan Hotel Al Maqam (berhadapan istana). Seharusnya peta yang paling baharu sudah diletakkan di sini pada waktu kini.

Gambar 2. Peta Masjid al Haram berserta Kawasan King Abdullah 



Petua (Tips):

- Pintu masuk No 1 ialah pintu King Abdul Aziz yang termasyhur.

- Anda boleh memasuki kawasan Saei' terus dari Pintu Masuk 13 hingga 41. Pintu Bab As Salam terletak sekitar sini. 

- Waktu Musim Haji, para penjaga masjid mungkin akan menutup atau meletakkan penghadang di pintu-pintu masuk seawal 1 jam hingga 1.5 jam sebelum waktu solat. 

- Gunakan pintu masuk No 91 dan 92 atau No 64 dan 65 di kawasan King Fahd untuk menaiki tangga bergerak (escalator). Pintu-pintu ini biasanya adalah pintu yang kedua paling akhir di tutup sekitar waktu solat di Musim Haji. Tapi anda cuma bisa memasuki Lantai Bawah, Lantai Pertama dan Bumbung menggunakan tangga bergerak ini. Anda tidak boleh memasuki Lantai Mezzanine secara langsung dari sini, harus mencari jalan di dalam masjid. 

- Pintu-pintu masuk kawasan King Abdullah yang baharu itu mungkin akan diberikan nombor 42 hingga 63, tapi saya tidaklah benar-benar pasti. Pintu-pintu masuk di kawasan ini biasanya adalah pintu yang paling akhir ditutup atau dihadang oleh penjaga masjid sekitar waktu solat di waktu kemuncak Musim Haji untuk mengawal kesesakan jemaah di dalam masjid. Kalau anda benar-benar terlambat ke masjid, cuba pergi ke pintu-pintu di sini untuk memasuki masjid,


- Rujuk blog saya yang selanjutnya untuk maklumat lebih lanjut. 




Tingkat atau Lantai Masjid

Masjidil Haram mempunyai empat (4) tingkat atau lantai, iaitu:

1) Lantai Dasar

- Lantai ini yang paling bawah dan sama aras dengan Kaabah

- Anda boleh pergi langsung ke lantai ini dari tangga menurun di pintu 78 dan 80 di kawasan King Fahd (rujuk Gambar 1. Peta Masjidil Haram dengan Nombor Pintu Masuk di dalam blog saya mukasurat Peta Masjidil Haram).

- Juga dari tangga bergerak (eskalator) di pintu 65 & 66 atau 91 & 92 (kawasan King Fahd)

- Jangan khuatir jika anda terpaksa melewati kawasan seakan "bawah tanah" dipenuhi dengan peti-peti berkunci (locker). Cari tempat wudhu' yang berada ditengah-tengah dan jalan terus ke hadapan untuk menuju ke Kaabah.

2) Lantai Mezzanine

- Anda akan terus berada di tingkat ini jika anda memasuki masjid melalui pintu utama seperti King Abdul Aziz (No 1) dan King Fahd (No 79)

- Perlu diingat bahawa anda perlu menggunakan tangga-tangga besar untuk terus ke kawasan tawaf/Kaabah dari lantai ini. Atau gunakan tangga bergerak dan tangga sampingan lain untuk ke bawah.

- Tawaf boleh dilakukan di kawasan ini waktu Musim Haji.

3) Lantai Pertama

- Lantai ini boleh ditemukan dengan melewati jalan landai yang terletak di sisi Istana dan di samping pintu King Abdul Aziz.

- Anda perlu menggunakan tangga bergerak (eskalator) di sekitar masjid untuk ke tingkat yang lain jika anda berada di lantai ini.

- Atau anda boleh gunakan tangga yang terletak di kawasan King Fahd (sekitar pintu 70-74 dan 85-88).

- Tawaf boleh dilakukan di kawasan ini waktu Musim Haji.

- Jemaah haji yang menggunakan kerusi roda boleh pergi ke kawasan ini melalui jalan landai yang tertera di dalam peta.

4) Bumbung

- Menurut pengetahuan saya, kita cuma boleh pergi ke tingkat ini dengan menggunakan tangga bergerak (eskalator). Di sini terdapat kawasan solat yang amat luas di atas kawasan King Fahd. Pemandangan menara jam dari sini memang cantik, tetapi kita tidak bisa melihat Kaabah dari sini.

- Kawasan ini akan menjadi sangat panas dan hangat di waktu siang kerana panas terik matahari, jadi awas dan berhati-hati.

-  Tawaf boleh dilakukan di kawasan ini waktu Musim Haji jika dibuka. Tahun lalu kawasan ini ditutup setelah insiden kren jatuh.

- Gunakan tangga bergerak (eskalator) di pintu 65 & 66 atau 91 & 92 untuk ke sini.

- Atau gunakan tangga bergerak (eskalator) di antara pintu 43 & 64 untuk ke sini. Sila rujuk peta  Gambar 2 - Peta Masjidil Haram dengan Kawasan King Abdullah.


Saei'

Terdapat empat (4) tingkat atau lantai di mana Saei boleh dilaksanakan iaitu:-

1) Lantai Dasar

- Lantai ini yang paling bawah dan sama aras dengan Kaabah

- Anda harus lalu mengelilingi jalan landai (ramp) jika ingin ke bahagian ini dari Kaabah (lihat gambar di bawah). Kawasan ini sedikit terlindung dengan jalan landai ini

- Atau, anda juga boleh langsung ke sini dari Bab As Salam (antara pintu 17 dan 20)

- Lantai ini agak kecil dan sempit dengan orang ramai ketika waktu Haji. Ruang pusingan di bukit Safa dan Marwa juga sangat sempit

- Tidak digalakkan menggunakan kereta sorong (wheelchair) di sini (saya sudah cuba)


2) Lantai Mezzanine

- Tingkat ini boleh dimasuki langsung dari kebanyakan pintu-pintu Saei (dari pintu 13 ke 36). Juga dari pintu-pintu utama seperti pintu King Abdul Aziz (No 1) dan King Fahd (No 79) tetapi harus berjalan beberapa jarak untuk ke sini.

- Tetapi, jika anda berada di Lantai Dasar (Kaabah), anda harus menaiki jalan landai (ramp) untuk ke tingkat ini (lihat gambar di bawah).

- Ruang ini paling ramai orang pada waktu Haji tetapi agak aman dan selesa (nyaman) kerana ruangnya yang luas

3) Lantai Pertama

- Lantai saei ini bersambung terus dengan ruang tawaf di lantai pertama. Ruang ini agak luas, juga agak lengang pada waktu Haji kerana kebanyakan orang bertumpu di Lantai Mezzanine

- Lantai Saei ini boleh dimasuki dengan menggunakan tangga bergerak (eskalator) di pintu 39 & 43 dan juga 38 & 41. Anda juga boleh cuba menggunakan tangga bergerak (eskalator) di pintu 16 & 23 (tapi saya tidak berapa pasti dengan tangga di sini kerana belum pernah mencuba)


4) Bumbung

- Saya tidak pasti sama ada Saei boleh dilaksanakan di ruang bumbung. Tetapi saya rasa ada ruang di atasnya.






Jangkawaktu Mengerjakan Tawaf

Tawaf di lantai Kaabah memakan masa sekitar 45 minit hingga 1 jam untuk menyelesaikan 7 kali pusingan Tawaf pada musim Haji.

Tawaf di lantai Mezzanine dan Lantai Pertama memakan masa sekitar 1.5 jam hingga 2 jam untuk menyelesaikan 7 kali pusingan Tawaf pada musim Haji.

Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ia mungkin berbeza untuk setiap orang bergantung kepada kesihatan dan kudrat masing-masing.

Tandas & Bilik Air (Kamar Kecil / Kloset)

Tandas hanya boleh dimasuki dari kawasan luar masjid. Sila rujuk peta untuk lokasi-lokasi tersebut.

Ruang Wudhu' Dalam Masjid

Ada beberapa tempat di dalam Masjidil Haram disediakan untuk melaksanakan Wudhu'.

Ini adalah tempat-tempat yang saya tahu:

1) Di tingkat pertama (1st floor) kawasan King Fahd, berhampiran pintu 68 dan juga pintu 89. Kawasan wudhu' ini dikhususkan untuk Muslimah.

2) Di bawah tangga-tangga menuruni Lantai Mezzanine ke kawasan Kaabah (tangga sebelah dalam, bukan yang besar).

3) Di kawasan "Bawah Tanah" di Lantai Dasar di bawah kawasan King Fahd, berhampiran dengan peti-peti berkunci (lockers)


Kawasan Khusus Muslimah

Di waktu musim Haji yang lalu, saya dapati Tingkat Pertama atau Lantai Satu di kawasan King Fahd ada disediakan kawasan khusus untuk Muslimah. Kawasan ini akan dipagari dengan rak-rak Quran atau penghadang (barricade).

Di Lantai Dasar, betul-betul di bawah Lantai Mezzanine di kawasan yang teduh dan terlindung (bukan kawasan tawaf), ada juga beberapa tempat yang dipagari khusus untuk Muslimah sewaktu musim Haji.

Mendengar Khutbah Jumaat dalam Bahasa Indonesia/Melayu di Masjidil Haram

Anda boleh mendengar khutbah Jumaat dalam bahasa Indonesia/Melayu di kawasan King Fahd sahaja. Gunakan radio dalam handphone anda atau radio FM biasa dengan earphone. Buka saluran FM 90.5.

Untuk Bahasa Inggeris, buka saluran FM 100.0.